Wednesday, December 3, 2008

ILMU JANGKAUI BATASAN

Keperluan setiap manusia tidak terbatas hanya kepada luaran sahaja. Jika dikaitkan dengan keperluan dan kehendak setiap manusia, pengetahuan tidak dapat dilepaskan dari pautan tersebut. Ilmu tidak terbatas hanya untuk mendapatkan kesenangan dan keselesaan dunia sahaja, tetapi ilmu menjadi bekalan untuk tujuan menuju ke satu tempat yang kedua selepas dunia.

Bagi yang beragama islam, keyakinan wujud satu alam lain merupakan satu aqidah yang utuh, berkait rapat dengan rukun iman. Agama-agama lain samada agama samawi atau tidak, keyakinan kepada satu tujuan selepas kematian adalah sama, cuma beza pada cara.

ILMU akan membezakan setiap manusia dari pelbagai segi. Bermula dari diri mereka sendiri hinggalah berkait kepada ketamadunan dan peradaban sesebuah kaum serta kepada negara mereka.

Individu akan dipandang kurang berkeyakinan dari sudut penampilan dan gerak geri sekiranya ilmu dan tahap pengetahuan yang cetek atau tidak sampai keperingkat yang membanggakan.

Surah Al Alaq, ayat 1, menyuruh kita membaca. Perkataan 'iqra' yang dimaksudkan di dalam ayat tersebut mempunyai maksud yang penuh tersirat. Kalau diperhatikan luaran sahaja, bacalah yang dimaksudkan mempunyai ayat suruhan atau ayat perintah yang lahir dari yang Maha Kuasa kepada hambanya yang lemah. Perintah dari peringkat yang tertinggi kepada yang paling bawah kedudukannya iaitu hamba Allah SWT. Sudah pasti suruhan ini mempunyai faktor yang amat besar iaitu kesinambungan antara hubungan tuhan yang maha pencipta dengan hambanya iaitu manusia.

Pemillihan Rasulullah SAW juga merupakan satu hikmah yang paling besar kerana baginda sebagai tonggak perbezaan di antara manusia dengan makhluk Allah yang lain, sekaligus menambah kekuatan manusia adalah sebagai khalifah Allah SWT yang memang telah sedia terpilih seperti termaktub di dalam ayat alquran yang lain.